Kini sudah Ramadan dan ini bermakna
tidak lama lagi ramai akan menunggang moto untuk ‘balik kampung’. Mari kita
semua meneliti perkara-perkara yang boleh meningkatkan keselamatan kita di jalan
raya agar kita dapat merayakan hari yang mulia bersama keluarga.
Sebelum melangkah untuk menunggang
bersendirian di atas jala raya pastikan perkara-perkara berikut;
1. Anda mempunyai lesen dan motosikal
pula ada cukai jalan dan insuran.
2. Anda bersedia dari segi mental dan
fisikal
3. Motosikal anda lengkap dan keadaan
mekanikal motosikal anda baik.
Kelengkapan yang sesuai dimestikan
untuk apa-apa tugasan. Menunggang motosikal perlu kelengkapan yang sesuai yang dapat
membantu mengurangkan kecederaan jika berlaku sesuatu. Kelengkapan jika
diabaikan akan membawa kecederaan pada kita sendiri. Kita tidak mahu terbaring
di hospital apabila takbir raya kedengaran.
Sebaik sahaja anda masuk ke jalan
raya, cabaran demi cabaran akan dihadapi. Penyebab yang mungkin membawa anda
kepada kemalangan begitu banyak sekali. Pastikan juga motosikal anda tidak
mengecewakan anda.
Bertanggungjawab Di Jalan Raya
Setiap pengguna jalan raya ada
tanggungjawab mereka sendiri. Tanggungjawab anda adalah kepada diri, keluarga
anda dan juga pengguna-pengguna jalan raya yang lain dan juga tanggung jawab
anda kepada negara yang telah menyediakan prasarana yang baik dan diharap anda jangan
salah guna infrastruktur ini. Kemalangan mungkin berlaku apabila ada di antara
pengguna jalan raya mengabaikan tanggungjawab-tanggungjawab mereka. Pengabaian
tanggungjawab ada beribu ribu cara, misalnya jika kita dengan sengaja memakai baju
gelap yang akan menyebabkan orang lain susah untuk melihat kita ataupun kita
alpa untuk memberi isyarat apabila hendak membelok .
Tip-tip keselamatan antara lain;
• Tonjolkan Diri- guna pakaian
sesuai dengan warna yang terang, guna lampu besar walaupun disiang hari, menunggang dilorong
yang betul untuk kelajuan anda. Ini semua agar anda dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna
jalan raya yang lain. (lihat ilustrasi dibawah)
TONJOLKAN DIRI DENGAN WARNA TERANG
SEKALI IMBAS BERAPA PENUNGGANG DAPAT ANDA LIHAT DALAM
GAMBAR KIRI DAN KANAN?
Secara
sekali imbas ramai yang mengatakan seorang penunggang di kedua-dua gambar.
Sebenarnya ada dua orang penunggang dalam kedua-dua gambar. Lihat betapa
jelasnya penunggang gambar kiri dengan ves berwarna. Penunggang kedua hampir
langsung tidak dapat dilihat. Dalam gambar kanan penunggang di atas telah
memakai ves kuning dan penunggang di kiri menanggalkan vesnya Jika bukan kerana
topi keledar putihnya dia juga hampir tidak dapat dilihat.
- Beritahu
Tujuan Anda - gunakan lampu,
lampu isyarat, lampu brek dan juga tangan anda untuk
memberitahu pengguna jalan raya yang lain tentang langkah yang anda akan ambil.
- Pastikan Jarak anda Selamat- apabila mengikut
kereta ataupun sedang diekori pastikan jarak anda
dan kenderaan yang lain itu selamat.
Jika kereta di hadapan terlalu rapat anda harus memotong atau jika tidak boleh, perlahankan moto anda.
Begitu juga dengan kereta yang mengekori
anda, beri laluan supaya mereka boleh memotong anda.
- Teliti jalan
yang akan ditempoh – sekurang-kurangnya 12 saat di hadapan.
- Kenali dan asingkan – halangan-halangan yang terdapat di hadapan
anda.
- Bersedia untuk bertindak - apabila dapat mengenali halangan, anda
harus tahu tindakan yang perlu
diambil.
Tuduh menuduh terhadap perkara yang
telah berlaku tidak bermakna kecuali untuk melepas geram. Pada kebiasaannya
tidak ada satu penyebab ketika berlakunya kemalangan. Penunggang yang berhemah
berkebolehan mengenali kemungkinan berlakunya kemalangan dan membuat pilihan
dan mengambil tindakan susulan untuk mengelak. Penunggang yang Tidak Berkhemah tidak
akan bertindak dan cuma sedar disaat-saat akhir apabila tindakan susulan sudah
tidak dapat memberi kesan.
Apabila menunggang untuk balik
kampung anda mesti bersedia bahawa jalan raya bukan seperti biasa. Jumlah
kenderaan akan berlipat ganda dari hari biasa dan ada banyak karenah pemandu
yang dapat dilihat semasa dalam perjalanan.
Elak Mengekori Kereta Sebegini
- Kereta Keluarga - Lihat kereta di hadapan anda. Mungkin kereta penuh dengan
penumpang, maklumlah nak balik kampung, si isteri, anak-anak dan mungkin juga
bibik di dalam. Kereta yang membawa kanak-kanak harus diawasi kerana mereka ini
banyak karenahnya. Kereta mungkin secara tiba-tiba membelok ke sisi jalan
kerana seorang anak nak kencing ataupun muntah. Jangan mengekori kereta sebegini.
- Kereta Anak Muda – Ini senang nak kenal. Cermin ‘tinted’, tayar ‘low profile’
dan bes yang menggegarkan jantung dan mungkin ekzos sport. Ramai diantara
pemandu kereta begini leka dengan muzik yang dimainkan sehingga lalai dan tidak
dapat mendengar kenderaan di luar. Mereka ini ada kecenderungan untuk memotong
dengan tiba-tiba.
- Pemandu Wanita – Ramai pemandu wanita yang berhemah tetapi ada segolongan lain
yang terlalu pentingkan diri sendiri. Misalnya, jika mereka nak memotong mereka
akan memberi isyarat dan tanpa menghiraukan kenderaan di belakang akan memotong
terus.
- Pemandu Mabuk – Tidak banyak di negara
kita tapi tidak semestinya kita anggap langsung tidak ada.
- Kaki Telefon - Telefon atau menghantar teks sms seperti perkara biasa bagi
mereka ini tetapi hakikatnya manusia tidak boleh memberi penuh tumpuan atas dua
perkara serentak. Jika sedang menghantar sms bermakna tumpuan dijalan tidak
ada.
- Pemandu Berangan Jadi Pelumba - Kereta dimiliki mereka ini dihiasi dengan
pelbagai pelekat- pelekat. Tidak cukup pada badan kereta, cermin-cermin
(terutama di belakang) juga ditampal. Ini akan membuat penglihatan pemandu
begini terhad kerana ‘blind spot’
atau kawasan buta meningkat.
- Penghias Dalaman- Mereka ini mungkin nak menunjuk kepakaran mereka menghias. Dalam
kereta tergantung pelbagai penghias. Di bahagian belakang diletak kusyen atau
pun dibuat sebagai tempat meletak patung beruang bermacam-macam saiz sehingga
ruang cermin dilindung sehingga 50%. Mereka ini sudah tentu tidak dapat melihat
apa berlaku di belakang kereta mereka.
Di jalanraya kita ada ramai
yang berhemah dan hanya segelintir seperti tersebut di atas. Tetapi mereka ini
mungkin menyebabkan diri anda berkemalangan. Elak dari mengekori mereka yang
tersebut di atas.
Posisi
Di lorong
Kerana profil depan sesebuah
motosikal agak nipis ia menjadi sesuatu kelebihan. Ruang yang luas pada sesuatu
lorong membolehkan seorang penunggang menukar posisi di lorong untuk mendapat
permandangan yang paling luas. Gunalah kelebihan ini sebaik-baiknya.
Posisi anda di Jalan Raya untuk:-
- Meningkatkan penglihatan anda dan juga penglihatan orang
lain terhadap anda..
- Elak dari berada di kawasan buta pemandu-pemandu
kereta.
- Elak permukaan
jalan yang bermasalah.
- Berkomunikasi dengan pemandu lain dengan memberi
isyarat yang betul supaya langkah anda dapat diketahui pengguna jalan raya yang lain.
- Elak tiupan angin dari kenderaan besar
boleh menggugat kestabilan terutama moto kecil.
- Jangan terperangkap di lorong tengah di jalan
raya tiga lorong dengan dihimpit kiri dan kanan oleh kenderaan lain. Jika ini berlaku anda akan
terperangkap. Posisikan diri anda supaya
ada ruang keluar jika kecemasan.
*Sesetengah
orang menggunakan perkataan ‘titik buta’ untuk perkataan Inggeris ‘blind spot’.
Saya tidak mahu menggunakan perkataan
tersebut kerana ia mungkin disalah tafsir sebagai titik pada hal ruang yang
tidak dapat dilihat dari tempat duduk kereta adalah luas. Jadi saya menggunakan
linkungan/kawasan buta.
Secara amnya tidak ada posisi yang
terbaik untuk diikuti. Posisi di jalan raya yang terbaik terpulang kepada
situasi keliling anda pada ketika itu. Ingat bahawa posisi anda harus memberi
anda pandangan yang luas di hadapan, arah bertentangan dan juga di belakang. Pastikan
juga anda berada di posisi yang dapat dilihat oleh pemandu-pemandu lain melalui
cermin kereta mereka. Jangan takut untuk menukar posisi anda di atas jalan jika
situasi sekeliling bertukar tetapi lakukan dengan cermat.