|
|
Rempit
|
|
|
| Apa itu rempit dan dari mana ia datang dan bagaimana pula dengan asal usul rempit ini. |
Apa itu REMPIT
Dalam konteks masa kini aktiviti merempit itu sangat luas bidangnya. Kepada orang ramai termasuk media massa merempit itu adalah aktiviti bermotosikal yang biasanya dilaku berkumpulan.
Asalkan ada penunggang motosikal menunggang berkumpulan ianya disebut
sebagai merempit. Dalam aktiviti ini peserta akan melakukan aksi-aksi
yang bukan sahaja membahayakan penunggang itu sendiri tetapi juga
pembonceng (jika ada) dan orang ramai yang berada dipersekitaran
aktiviti itu dilakukan.
Aksi-aksi ini termasuklah menunggang dengan laju, menunggang secara
zig-zag, melanggar lampu merah, menunggang lawan arus dan juga
melakukan aksi mengangkat roda depan dan paling baru, melakukan stoppie (berhenti di lampu trafik dengan roda belakang terangkat. Ramai yang salah apabila merujuk aktiviti ini sebagai merempit. Aktiviti sedemikian harus dirujuk sebagai ‘samseng jalanan’. Aktiviti samseng jalanan ini tiada kesudahanya. Apa yang disebut di atas adalah aktiviti yang bukan sahaja anti sosial tetapi juga melanggar undang-undang. Negara
kita bernasib baik kerana aktiviti samseng jalanan ini tidak melebihi
dari aktiviti yang tersebut di atas yang kesemuanya adalah berbentuk
anti-sosial. Di beberapa
negara maju samseng-samseng jalanan ini melakukan perkara-perkara yang
lebih dahsyat seperti menendang motosikal lain yang berada di atas
jalan tanpa sebarang sebab atau provokasi. Wanita yang berjalan di sisir jalan akan diganggu dengan memukul bontot dan sebagainya. Saya tertarik dengan akronim dalam satu laman blog seperti berikut REMPIT- Remaja Enggan Mematuhi Polis dan Isyarat Trafik. Apakah akronim ini realiti? Anda jawab sendiri. |
Asal Usul Perkataan ‘REMPIT’
Pada
pertengahan tahun 70’an di litar lumba Daytona di USA, moto-moto baru
yang diperkenalkan ketika itu merupakan motosikal yang paling bertenaga
pernah dipertontonkan di mana-mana sahaja. Moto 2 lejang 750cc bak kuda liar yang perlu dijinakan.
Yamaha TZ 750 dan juga Suzuki 750 yang ditunggang oleh penunggang
seperti Kenny Roberts, Randy Mamola dan Barry Sheene terlalu bertenaga
sehingga roda depan moto mereka terangkat apabila memecut keluar dari
selekoh. Aksi ini dengan sekelip mata telah diaplikasikan kepada simbol
kemenangan. Penunggang yang menang akan membuat wheelie apabila melintas garisan penamat. Aksi pemenang yang sebelum ini cuma melambai-lambai pada penonton hilang begitu sahaja.
Randy Mamola merupakan orang pertama dimana aksi roda depan terangkat
dirakam oleh kamera pemberita. Apabila ditanya, Randy mencerita
bagaimana hebatnya kuasa motosikal yang ditunggangnya dan tidak dapat
dikawal, Randy berkata ‘ its like taming wild horses’ (seakan menjinakan kuda liar) yang biasanya mengangkat kedua-dua kaki depan mereka apabila pertama kali ditunggang. Perkataan wheelie belum pun wujud. Siapa yang memberi nama wheelie juga tidak diketahui tetapi yang pasti sebelum akhirnya tahun 1979 perkataan wheelie sudah diguna pakai oleh hampir kesemua majalah motosikal ketika itu. Majalah pula mula memberi tip-tip bagaimana hendak membuat wheelie. Di negara kita juga pemenang-pemenang lumba motosikal akan merempit di garisan penamat.
Merempit ketika itu hanya dilakukan penunggang mahir kerana ia satu
kemahiran yang perlu dipelajari. Di beberapa negara seperti UK dan US,
ada kumpulan yang memberi ajaran dengan membuka sekolah bagi mengajar
bagaimana nak merempit atau bagaimana melakukan aksi wheelie. Aktiviti wheelie berkembang sebagai satu riadah. Pertandingan diadakan untuk siapa yang boleh buat wheelie
yang paling jauh dengan kelajuan paling rendah dan berbagai-bagai lagi
acara yang kesemuanya bertumpu keatas mengangkat roda hadapan. Baik di
majalah atau pun di dalam kelas amali perkara asas yang perlu untuk
mengangkat roda depan adalah revs atau kelajuan putaran enjin. Pelajar-pelajar diajar ‘to rev it’. Rev It merujuk kepada meningkatkan putaran enjin yang diperolehi dari memulas pedikit dengan pantas supaya putaran enjin meningkat.
Di negara kita perkataan itu menjadi ‘rem it’. Teringat saya kepada perkataan gostan yang bermaksud undur yang diadaptasi dari perkataan Inggeris ‘go astern’ |
Remp-It atau Samseng Jalanan?
Merempit
itu dengan sendirinya adalah aksi yang memerlukan kemahiran dan
kepakaran, kerana bukan sahaja nak mengangkat roda depan itu agak sukar
tetapi ia juga perlu kemahiran untuk mengawal motosikal yang bergerak
dengan satu roda sahaja.
Remaja-remaja kita yang merempit ini kesemuanya mempunyai kemahiran ini
dan kita harus mengasahkan bakat ini kepada jalan yang berguna.
Di UK misalnya, kebanyakan yang belajar membuat wheelie kebanyakannya ingin memasuki acara sukan motosikal yang diberi nama TRIAL dan ada juga yang menuntut agar dapat mengembangkan bakat dalam bidang STUNT atau extreme riding. Di negara kita kerjaya sebagai stunt rider agak terhad tetapi dalam sukan TRIAL riding ia boleh diperluas kerana 1) sebagai sukan, trial diiktiraf di peringkat dunia dan 2) sebagai extreme performer di acara-acara keramaian. Mana tahu satu hari Juara Dunia ISDT (International Six Days Trial ) atau pun artis lasak merupakan mat rempit dari Malaysia! Dengan ini diharap badan-badan sukan negara dan juga kelab-kelab motosikal mengambil initiatif untuk memperkenalkan sukan TRIAL di Malaysia. Jika ini dapat dilakukan, mungkin jalan raya tidak lagi diguna untuk riadah yang sia-sia. |
Manfaat dari mereka yang pandai rempit
Sukan TRIAL adalah satu sukan motosikal dimana peserta harus melalui halangan-halangan. TRIAL
dibahagi kepada 2 jenis iaitu Indoor (dalam stadium) dan Outdoor
(luar). Untuk outdoor halangan berbetuk batang-batang pokok yang telah
tumbang atau pun batu-batu besar dan juga lereng-lereng bukit.
Untuk indoor TRIAL halangan berupa tong-tong, konkrit, atau peti-peti
yang disusun khas untuk menguji kemahiran peserta mengatasi
halangan-halangan. Markah ditolak jika peserta melakukan kesalahan seperti menjijak kaki ketanah (lantai) dan sebagainya.
Untuk melangkah halangan, peserta harus pandai mengangkat roda depan
sambil mengimbangkan badan supaya tidak jatuh. Sukan ini memerlukan
kepakaran mengendali motosikal.
Saya rasa ramai remaja kita yang kini dilabel sebagai perempit
mempunyai bakat dan kemahiran untuk diasah supaya berkemungkinan
berjaya dalam sukan TRIAL. Saya serahkan semua kepada kebijaksanaan badan-badan tertentu untuk menilai dan melaksanakan idea ini. Kepada mereka yang sedang giat merempit dan ingin menyalurkan tenaga dan kemahiran kearah lain, cubalah TRIAL. Jika anda ahli pertubuhan belia atau kelab-kelab lain, minta jawatan kuasa anda untuk menguruskan.
|
|
|
|