drmoto.com.my
Home      TopMs 100-91

Top 10 atau top apa-apa saja biasanya terdapat dalam carta lagu lagu pop sahaja, tapi Dr. Moto teruja untuk memilih 100 motosikal yang dianggap paling baik dari beberapa segi seperti  1) rekaan mengemparkan   2) kegemaraan ramai   3) sukses dalam jualan   4) sukses dalamsukan   5) berdaya tahan   6) inovatif    7)pelopor sesuatu bidang   8) pencetus idea.

100 Motosikal Pilihan Dr. Moto bukan kesemuanya dari pengalaman peribadi tetapi juga pandangan ramai dari sumber-sumber lain.

Untuk tidak menyentuh perasaan sebarang pengeluar moto masa kini, Dr. Moto sengaja mengecualikan moto -moto yang baru masuk pasaran kurang dari 10 tahun.   Anda mungkin ada motosikal Top anda.

Sebagai pembukaan Dr. Moto menyenaraikan motosikal yang menduduki posisi dari 100 ke 91.


 
100. Mondial 175
 

Mondial, jenama yang tidak lagi didengar masa kini.  Moto buatan Itali ini pada suatu ketika dulu adalah seperti motosikal RXZ masa kini.  Semasa kecil saya sudah pandai mengidam moto ini setelah tiap-tiap hari melihat moto ini kepunyaan seorang pemuda kampung yang asyik ‘test power’ di jalanraya yang melintasi kampung saya. Satu-satunya moto yang diidam ramai pada awal ‘60an.


 
 
 
 
 
 
99.Yamaha YB 100
 
 
 

Yamaha YB 100 – Motosikal yang popular untuk  penghantar surat, posmen dan juga digunakan oleh Jabatan Telekom ketika awal 70’an. Walaupun secara peribadi saya tidak minat terhadap bentuk motosikal ini tetapi kerana ia sungguh tahan lasak ia mendapat tempat di senarai Top 100 – Dr. Moto.


 
 
 
 
 
 
98. Honda CB 175
 
Merupakan antara motosikal yang popular apabila mula dikeluarkan. Moto ini adalah antara motosikal dari Honda bersiri CB yang bermula dari CB 125, CB 175, CB 250, CB 350, CB 450.   Setiap model tersebut boleh didapati dalam dua versi iaitu siri CD. Paling senang hendak kenal ialah CD hanya ada satu carburetor. Motosikal ini adalah pilihan pertama untuk mereka yang baru mula bekerja. Walaupun perbezaan dengan CB 125 hanya 50 cc tetapi kuasa dan tork dari CB 175 amat ketara.
 
 
 
 
 
97. Honda S 90 
 
 
Amat disukai ramai dalam awal enam puluhan. Antara golongan yang memilih moto ini adalah pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi dan juga pekerja binaan.  Apa sebabnya tidak diketahui tetapi kalau kerja kontrek itu, mesti guna S 90 atau Vespa. Moto paling senang untuk dijaga. Nak basuh pun tak payah risau. Curah saja air dan sabun kemana-mana bahagian,  Honda S 90 tidak akan semput.
 
 
 

 
 
 
 
 
96. Honda CB 350 Four 
 
 

Moto multi selinder yang terkecil dari kilang gergasi Honda. Atas permintaan ramai selepas Honda 4 memenangi Grand Prix dalam kelas 250, 350 dan 500 dengan menggunakan enjin 4 selinder. Tidak berapa popular di negara kita tetapi di negara jiran Singapura, ia sangat-sangat popular. Pada waktu popularnya hampir setiap satu dari lima motosikal yang akan dilihat di jalanraya Singapura adalah CB 350 Four.


 
 
 
 
 
 
 
95. MZ TS 250
 
 
Sebelum tahun-tahun lapan puluhan antara motosikal yang digemari untuk keliling dunia adalah BMW R75 dan MZ TS 250. Moto MZ ketika itu dikeluarkan di Zschopau di Jerman Timur . MZ juga adalah kegemaran peminat lumba kerana senang diubah-suai untuk lumba. Selepas runtuhnya tembok Berlin, MZ sedikit demi sedikit menurun popularitinya. Syarikat bertukar tangan beberapa kali sebelum Hong Leong mengambil alih. Kini Hong Leong pun sudah tidak lagi mengusahakan MZ.
 





 
 
 
 
 
94. Yamaha Y 80
 

Yamaha Y 80  - Motosikal Yamaha Y  80 merupakan model yang diunjur oleh Yamaha untuk menentang populariti Honda C70.  Jika Honda cuma 70 cc, Yamaha melawan dengan menambah kapasiti ke 80 cc dan begitu juga Suzuki dengan FR 80. Antara sebab Honda mengeluarkan C90. Sungguh mudah digunakan dan diselenggari.


 
 

 
 
 
 
93. Yamaguchi 50 
 

Yamaguchi 50  - Jenama motosikal Yamaguchi boleh dikatakan berkongsi posisi sebagai antara motosikal Jepun pertama dibawa ke Malaysia (Malaya ketika itu) bersama  Honda dan Suzuki. Tiga sahabat dari Malaysia berniat untuk membawa motosikal-motosikal dari Jepun untuk melawan motosikal British yang bermaharajalela di jalanraya di negara ini. Tanpa apa-apa pelan mereka bertolak ke Jepun dan melihat moto-moto di jalanraya di sana. Dan antara mereka masing-masing mengambil satu jenama. Selepas itu baru mereka pergi terus ke kilang motosikal untuk berunding. Seorang ‘chup’ Honda seorang lagi ‘chup’ Suzuki dan seorang lagi yang berasal dari Taiping memilih Yamaguchi. Kerana permasaalahan di kilang, Yamaguchi tidak bertahan lama dan ianya hilang dari jalanraya di negara kita.


 
 
 
 
92. Yamaha YDS
 

Antara yang pertama berselinder kembar. Banyak yang berpendapat bahawa siri YDS ini adalah pencetus model-model yang sangat popular dari Yamaha iaitu siri RD. Moto ini adalah yang asas untuk moto lumba Yamaha pada awal ‘60an iaitu Yamaha TD1C.  Sukan lumba moto tidak lagi mahal seperti sebelumnya. Sambil menulis ini, teringat-ingat akan Adnan Nassir dengan TD1Cnya di Trek Lumba Batu 3. Adnan dikatakan kini menetap di Kajang.


 
 
 
 
 

91. Yamaha XS 650

       

Ketika motosikal Jepun sudah bertapak di Asia, motosikal British masih bertahan di Amerika dan Eropah. Kalau sebelum ini Jepun menggunakan moto dua-lejang untuk menamatkan riwayat motosikal British dengan XS-1 ini Jepun bertembung terus dengan British. Yamaha XS-1 dilihat sebagai penganti Norton 650 ss, Triumph Boneville, BSA Rocket Star dan yang lain-lain. Moto 4 lejang Jepun ini diandaikan sebagai noktah industri motosikal British. Norton dan Triumph dengan bernyawa ikan cuba melawan dengan Norton Commando, Triumph Trident dan BSA Rocket 3.  Apa yang berlaku kini sejarah.

 
Dalam siri yang akan datang Dr.Moto menyenaraikan moto pilihan dari posisi 90 ke 81.

 

Home   |   Index
Laman   |   Indeks
 

 
Copyright ©2009 drmoto.com.my
Designated trademarks and brands are the property of their respective owners