drmoto.com.my
Home      TopMsRiders


Semua orang ada hero, idola atau pun seseorang yang dipandang untuk inspirasi dalam menjalankan aktiviti-aktiviti harian mereka. Mereka yang tersenarai pada satu ketika atau ketika lain memberi inspirasi dan panduan kepada saya. Sesetengah mereka ini mungkin anda tidak kenal atau pun mungkin tak pernah dengar pun tetapi yang pasti mereka adalah penunggang motosikal yang telah memberi  impak kepada saya.

1. RENZO PASOLINI

Dilahirkan pada 18hb Julai 1938 di Rimini, Italy Renzo Pasolini dikenang kerana keceburan dia dalam dunia pemotosikalan. Dalam begitu banyak perlumbaan yang disertai, Renzo adalah satu-satunya penunggang yang mampu menundukkan Agostini.  Diberi gelaran Paso, dia sangat popular dan disukai ramai baik lawan ataupun pekerja-pekerja di litar. Cara dia menunggang selalu disebut sebagai aneh dan unik dan penunggang yang mengikutnya selalu memberi gambaran bahawa pergerakan Renzo susah hendak dijangka. ‘Racing Line’ Renzo mengelirukan ramai lawannya.
 

Satu peristiwa di Isle of Man TT tidak mudah dilupai. Renzo sedang mengambil selekoh di Litar tersebut dan nampak terbabas. Dia lepas dengan mengambil laluan antara tiang lampu dan dinding batu di kawasan tersebut. (Isle of Man di lumba atas jalan biasa mengelilingi pulau yang panjangnya hampir 40 batu.) Moto Renzo tergesel dengan dinding batu dan kelihatan warna dari motonya terlekat di dinding. Ramai terkejut dan tergamam menyangkakan dia akan jatuh.

Tetapi Renzo selamat dan masih dapat menjaga kedudukannya dalam perlumbaan. Juruhebah di radio melaungkan bagaimana nasib Renzo amat baik sekali kerana tidak kemalangan. Oleh kerana litar panjang perlumbaan hanya 3 pusingan, dipusingan kedua ramai yang mengagak bahawa Renzo akan perlahan di selekoh tersebut tetapi alangkan terkejutnya mereka apabila Renzo mengulangi aksinya di pusingan pertama dengan melalui antara tiang dan dinding. Pengulas radio tergamam sehingga tidak bersuara untuk beberapa ketika. Dalam pusingan ke-3 dan terakhir Renzo buat aksi sama. Inilah dia penunggang yang bergantung pada kepakaran dan bukan nasib.

 
Renzo anak seorang penunggang motosikal dan mula berlumba di acara moto-cross pada tahun 1958. Dia juga atlit yang baik dan berkecimpung dalam sukan tinju dan dalam gelangang lumba moto penonton pasti akan berdiri apabila Renzo muncul kerana gaya dia mengambil selekoh seakan akan hendak jatuh.
 

Pada tahun 1962 Renzo dengan Moto Aermacchi 175 memenangi perlumbaan jalan di depan Agostini. Renzo kemudian rehat selama 2 tahun kerana khidmat negara. Dalam tahun 1965 Renzo memenangi Kejuaraan Itali dengan menunggang Moto Benelli 500-4.

Pada tahun 1971 Renzo menyertai Aermacchi (ketika itu dimiliki oleh Harley) tetapi tidak mengambil bahagian kerana masanya digunakan untuk membina moto lumba. Pada musim 1972 Renzo kalah 1 mata kepada Jarno Saarinen untuk kejuaraan dunia 250cc.

Pada 20hb Mei 1973 satu kemalangan berlaku sebaik sahaja perlumbaan 250cc untuk kejuaraan dunia di Monza Itali bermula. Kemalangan di selekoh pertama Monza mengambil nyawa Jarno Saarinen dan Renzo Pasolini.

Ducati memberi penghormatan dengan menamakan sebuat motosikal ‘Paso’ pada tahun 1986.

.


2. Mike Hailwood 

Stanley Michael Bailey Hailwood,  dilahirkan pada 2hb April 1940 di Great Milton, Oxfordshire dihormati ramai termasuk seteru lumbanya. Di kenali sebagai "Mike The Bike" dia mempunyai kemahiran menunggang semula jadi. Dia adalah diantara segelintir penunggang motosikal yang kemudian berlumba F.1 dan kembali semula ke motosikal dengan kejayaan.  Bapa Mike mempunyai kedai motosikal dan di situ Mike membesar.  

Perlumbaan pertama Mike adalah di Oulton Park pada 22 April 1957 ketika umur belum mencecah 17 tahun tetapi telah berjaya menduduki tempat ke 11. Kejuaraan pertama adalah lumba endurance di Thruxton 500 dengan rakan Dan Shorey.  Pada 1961 Honda mengambil Mike untuk berlumba moto 4 lejang 4 selinder baru. Dia memenangi kejuaraan dunia pada tahun itu. Musim berikutnya Mike beralih ke MV Agusta dan berjaya merangkul kejuaraan untuk MV dan menjadi penunggang pertama menjuarai 500cc sebanyak 4 kali berturut-turut. Honda berjaya memikat Mike pada musim berikutnya dan dia menghadiahkan mereka 4 kejuaraan dalam kelas 250 dan 350 cc.

Hailwood diingati kerana pencapaiannya di Isle of Man dan rekod Mike di pulau tersebut bertahan selama 8 tahun. Apabila Honda menarik diri pada tahun 1968 mereka memberi Hailwood saguhati sebanyak £50,000 (atau £650,000 jika dikira masakini) dengan syarat TIDAK BERLUMBA untuk pasukan lain. Hailwood beralih ke lumba kereta.

Mike Hailwood adalah seorang yang mementingkan pencapaian. Apa yang dicapai di gelanggang motosikal dilakukan juga di arena F.1 . Dia dianugerahkan pingat keberanian George Medal kerana mengenepikan perlumbaan dan berhenti untuk menyelamatkan seorang pelumba Clay Regazzoni dari kebakaran di GP Afrika Selatan dalam tahun 1973.

Pada tahun 1978 Mike kembali berlumba motosikal di Isle of Mann. Banyak yang tidak menyangka bahawa selepas 8 tahun tidak berlumba dalam acara motosikal Mike menang mudah dengan menunggang Ducati 900SS. Sepanjang kariernya Hailwood menunggang dari moto 1-selinder 4-lejang ke motosikal 2-lejang dan akhirnya motosikal 2-selinder 4-lejang.

Hailwood menemui kemalangan pada 21 Mac 1981 apabila kereta yang dipandu merempuh sebuah lori yang membuat pusingan yang tidak sepatutnya.
 


3. Johnny Cecotto

Alberto "Johnny" Cecotto dilahirkan pada Januari 25, 1956 di Caracas, Venezuela. Dia adalah anak pendatang Itali dan antara segelintir yang berlumba motosikal dan juga kereta, (Formula One).

Cecotto telah memenangi Kejuaraan Kebangsaan Venezuelan pada tahun 73 dan 74 dan mendapat perhatian ramai di Daytona dalam tahun 1975. Menunggang Yamaha TZ750 yang standard Cecotto bermula sebagai seorang pelumba dari Amerika Selatan dan mendapat grid terakhir untuk perlumbaan Utama di Daytona. Dia mengejutkan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-3.

Dari Daytona Cecotto berlumba di Eropah dalam kelas 250 dan 350 dan dalam tahun sama menjuarai kelas 350 dengan menewaskan Agostini.

Pada tahun 1976 dia kembali ke Daytona dan menjadi juara dengan mengalahkan Kenny Roberts. Tahun 1978 merupa tahun terakhir Cecotto berlumba motosikal walaupun menjuarai tahta Formula 750 Dunia.  Dalam tahun 1980 Cecotto beralih ke lumba kereta.

Di arena perlumbaan kereta Cecotto bermula dengan pasukan Minardi sehingga tahun 1983 dan dalam tahun 1984 dia memasuki pasukan Toleman sebagai rakan kepada Ayrton Senna. Tetapi malangnya perlumbaan kereta tidak memberi kejuaraan kepada Cecotto.
 

4. Giacomo Agostini

 

Giacomo Agostini dilahirkan pada 16 Jun 1942 di Brescia, daerah Lombardy, Italy kepada keluarga hartawan Itali. Bapanya tidak merestui kegemaran Giacomo menunggang motosikal. Pada tahun 1963 Giacomo Agostini memenangi kejuaraan pertamanya dengan menunggang Moto Morini 175 dan dengan kemenangan ini telah menarik perhatian pasukan Benelli. Dalam tahun 1964 dia menjadi juara 350 Itali dengan menunggang Benelli.

Kemenangan kali ini membuka mata Count Agusta (pemilik MV Agusta) dan mengambil Agostini sebagai pelumba kedua disamping Mike Hailwood bagi musim 1965. Ago hampir memenangi juara dunia pada tahun tersebut tetapi nasib tidak memihaknya. Pada perlumbaan terakhir di Jepun motonya rosak dan kejuaraan jatuh ke tangan Redman dari Honda.

Pada musim 1966 Hailwood pindah ke Honda dan Ago tidak menghampakan apabila memenangi kejuaraan 500cc dan 6 lagi kejuaraan dunia selepas itu. Dia juga menghadiahkan MV dengan 7 kejuaraan 350cc. Pada tahun 1967 Agostini bertarung dengan Hailwood di perlumbaan penentu dan Agostini tampil juara.

Pada tahun 1974 Agostini memasuki pasukan Yamaha dan di perlumbaan pertamanya dengan Yamaha telah menang lumba Daytona 200. Dia kemudiannya memenangi juara 350 dan 500 untuk Yamaha tahun berikutnya.



 
 

5. Mitsuo Itoh


Penunggang Suzuki Mitsuo Itoh merupakan orang Jepun dan juga Asia pertama memenangi perlumbaan di Isle of Man TT. Itoh menjuarai kelas 50cc atas litar yang asing bagi seorang dari Asia dan di negara yang bersekutu dengan negara yang mengebom Jepun cuma 15 tahun sebelumnya. Itoh sangat profesional dengan mengenepikan segala perasaan dihati dan juga pandangan serong sesetengah orang di litar tersebut. Pada Ioh ia satu tugas yang harus dilakukan dan dia bernekad untuk melakukannya dengan cemerlang untuk negaranya. Itoh menang dan Suzuki dimahkotakan sebagai juara pengilang kerana juga memenangi kelas 125. Sehingga kini Itoh merupakan orang Jepun tunggal yang pernah memenangi perlumbaan di IOM TT.

Itoh merupakan seorang jurutera di kilang Suzuki dan menceburkan diri di perlumbaan ‘hill-climbs.’ Ketika itu Jepun tidak ada trek jalan untuk berlumba dan Itoh agak terkejut apabila Suzuki menamakannya sebagai pelumba di IOM. Pada masa itu semua pelimba pengeluar adalah pekerja di kilang pengeluar itu sendiri, dan berlumba adalah satu tugas.

Motosikal Itoh adalah Suzuki 50cc berkod RK67 dan dilengkapi dengan kekotak gear 14 kelajuan dan mampu berputar sehingga 20,000 rpm. Itoh dikhabarkan berkata selepas memenangi IOM bahawa dia dapat bergerak lebih pantas jika motosikalnya ditambah 2 gear lagi. Tidak berapa lama kemudian FIM menghadkan gear pada perlumbaan.

Itoh adalah orang yang bertanggung jawab ke atas pengeluaran siri motosikal 3-selinder Suzuki iaitu GT380, GT550 dan GT750.



6. Jarno Saarinen

Jarno Karl Keimo Saarinen dilahirkan pada 11 Disember 1945 di Turku, Finland. Antara kejayaan terawal Saarinen adalah di perlumbaan trek ais tetapi dia sebenarnya bermula dengan berlumba dalam speedway. Saarinen dikatakan menjaga enjin motosikalnya secara persendirian kerana dia mempunyai asas kejuruteraan sebagai jurutera mekanikal.

Ketika umur 25 tahun, Saarinen mula berjinak dengan lumba Grand Prix dan mendapat kedudukan ke-4 pada perlumbaan pertamanya dalam kelas 250 cc . Pada tahun 1971 dalam perlumbaan kejuaraan dunia, Saarinen menduduki tempat ke-3 dalam kelas 250 dan tempat ke-2 dalam kelas 350cc. Yamaha nampak potensi Saarinen dan terus mengikat kontrak dengannya untuk menunggang motosikal baru Yamaha ketika itu, iaitu Yamaha TZ.  
 

Saarinen menjuarai kelas 250 dalam tahun 1972 dan naib juara dalam kelas 350cc. Dalam tahun 1973 Saarinen menyertai acara Daytona 200 dengan motosikal Yamaha TZ 350 dan bertentangan dengan penunggang-penunggang lain yang menunggang moto 750cc.  Saarinen menang. Saarinen diberi kepercayaan oleh Yamaha dalam tahun 1973 dengan memberinya motosikal baru Yamaha 4-selinder 2-lejang 500cc.

Tetapi malang tidak berbau, di Monza pada 20 May 1973 Jarno Saarinen terlibat dalam kecelakaan di selekoh pertama dalam pusingan pertama. Kemalangan tersebut meragut nyawa Saarinen dan Renzo Pasolini.
 

7. Percy Tait



Selepas khidmat negara dimana Tait mendapat ilmu tentang motosikal dia masuk bekerja dengan Triumph Motorcycle pada tahun 1950 pada umur 21 tahun. Sebagaimana pemuda lain ketika itu Tait tidak ada pengalaman bekerja jadi dia ditugaskan ke linepemasangan. Tait seorang yang tehun dan tidak lama kemudian dia ditukarkan ke jabatan experimental. Di sini dia dapat menguji dan menyelenggara moto-moto experimen dan ketuanya nampak bakat yang ada pada remaja ini dan terus memberi peluang untuk Tait menjadi pelumba ‘test’ untuk Triumph. Tugas Tait adalah menguji motosikal-motosikal Triumph dan dia pernah dilaporkan sebagai berkata dia telah menunggang motosikal Triumph sejauh sejuta batu. Dia kemudian ditugaskan di bawah Doug Hele seorang pereka bentuk dan jurutera yang terkenal.

Kejayaan Tait yang paling diingati adalah di Spa-Francorchamps dalam tahun 1969 semasa Belgian GP di mana Tait yang menunggang Triumph 500 hampir mengalahkan Agostini. Ini dicapainya tanpa rehat setelah memandu van yang diisi dengan motosikal lumbanya dan dua orang pembantu. Apabila tiba di litar mereka cuma sempat rehat kurang sejam sebelum perlumbaan bermula. Tait juga memenangi perlumbaan lasak Truxton 500 bersama Malcolm Uphill.

Dalam tahun 1976 Tait digaji oleh Suzuki untuk membina sebuah motosikal 500 cc yang berasaskan motosikal biasa. Motosikal yang dibina oleh Tait ini kemudiannya dilumba oleh Barry Sheene dengan beberapa kejuaraan. Dalam usia tuanya Tait menumpu kepada pemeliharaan kambing bebiri.
 

 

8. Thierry Sabine

Thierry Sabine di iktiraf sebagai pengasas perlumbaan lasak Paris ke Dakar yang kini dikenali sebagai ‘The Dakar’. Sabine seorang penunggang yang gemar mengembara dilahirkan pada 13hb June 1949. Ketika mengambil bahagian dalam perlumbaan Abidjan-Nice Rally dalam tahun 1977 dia sesat di gurun Libya. Pada ketika itu dia mendapat ilham untuk mengadakan perlumbaan melintas gurun Sahara. Sabine rasa perlumbaan sebegitu akan menguji penunggang daya tahan mereka tidak kira mereka profesional ataupun amatur. Tanpa membuang masa pada Disember tahun itu juga Sabine mengaturkan satu perlumbaan dari Paris ke Dakar. Ia sebenarnya hanya recce tetapi dibuat seakan perlumbaan betul supaya segala masaalah sebenar dapat diatasi apabila perlumbaan betul diadakan. Perlumbaan pertama Paris Dakar dilangsungkan pada tahun berikutnya.

Perlumbaan pada tahun 1986 bermula di Paris pada 1 hb Januari dengan 486 peserta. Sabine mengikuti perlumbaan dengan menaiki helikopter tetapi malangnya helikopter tersebut terhempas di Mali pada 14hb Januari 1986. Terbunuh adalah Sabine bersama penyanyi Perancia Daniel Balavoine, juruterbang, seorang wartawan dan juga seorang jurutera.
 

 

9. Cook Neilson

 Pada masa muda apabila hujung bulan sahaja saya akan ke kedai buku mamak di Hutton Lane , Pulau Pinang untuk mendapatkan salinan majalah kegemaran saya. Dalam majalah tersebut saya akan terus membaca tulisan Cook Neilson sebelum membaca rencana rencana lain.
 
Neilson dilahirkan pada 24hb Ogos 1943 dan dia adalah seorang penulis dan juga seorang peminat motosikal yang berkaliber. Neilson mula dikenali apabila dia memenangi perlumbaan di Daytona dalam tahun 1977 dengan menunggang motosikal Ducati 750SS. Dalam dunia penulisan Neilson mula menulis untuk majalah Cycle pada tahun 1967 dan di iktiraf sebagai sebab kejayaan majalah Cycle.

Dalam perlumbaan Neilson menyertai 38 perlumbaan dan memenangi 19 dari perlumbaan tersebut dan kesemua kemenangan dilakukan dengan moto Ducati 750SS. Dia tidak tamak pengetahuan, segala ilmu diturunkan kepada semua melalui tulisannya di majalah Cycle. Majalah majalah lain cuba meniru gaya tulisan Nielson tetapi tidak dapat menandingi Nielson. Malah pada satu ketika saya bercita-cita nak menulis seperti Cook Nielson.


10. Burt Munro

 
Mengejar impian adalah sesuatu yang kita pernah melakukan dalam hidup kita. Sesetengah kita melupakan sahaja impian kita apabila halangan muncul, ada pula yang nekad untuk mencapai impian tetapi luntur apabila hampir mencapai nya kerana cabaran sangat sengit. Malah ada antara kita ada impian tetapi tidak berani hendak mengejarnya kerana lebih gemar impian itu di kategorikan sebagai impian, kalau dah capai bukanlah impian!, kata mereka.

Bagi Burt Munro dari New Zealander halangan atau apa sekalipun tidak akan melunturkan impiannya, walaupun ia akan mengambil masa seumur hidupnya. Selama 25 tahun Burt  mengejar impiannya sebelum terbuka peluang untuk mencapainya.

Saya gemar membaca buku mengenai rekod rekod dunia terutama tentang permotoran dan saya tertarik dengan catatan bahawa ada rekod dunia yang dipegang oleh Burt. Pertama kerana dia dari New Zealand yang jarang melahirkan juara dunia dan kedua dia melakukannya dengan motosikal yang sudah lama tidak dijual dimana mana.
 

Beberapa tahun kemudian saya terbaca tentang Burt dalam majalah Australia tentang perjalanan bagi mencapai impiannya. Dua, tiga tahun kebelakangan ini filem mengenai siku-liku kehidupan Burt dalam mengejar impian telah dikeluarkan. Filem ‘The Worlds Fastest Indian’ harus ditonton oleh semua penunggang dan juga mereka yang mempunyai impian. Burt dianggap gila tetapi akhirnya di membuktikan kepada orang bahawa mereka telah tersalah anggap. Saya tertarik apabila dalam filem tersebut Burt berkata kepada anak jirannya, ‘Anda merasa hidup lebih dalam 5 minit atas motosikal dari sesetengah manusia dalam seumur hidup mereka’.

Mungkin satu hari apabila orang bertanya kenapa saya menunggang motosikal saya akan jawab begitu. 

Burt Munro dilahirkan di Invercargill, South Island, New Zealand pada tahun 1899. Semasa kecil dia seorang budak yang tidak suka mengalah. Disebabkan kedua-dua kakaknya meninggal semasa dilahirkan, doktor meramalkan yang umur Burt tidak akan melepasi 2 tahun. Mungkin inikah sebabnya di kuat bertahan. Rekod yang dicipta pada tahun 1967 masih bertahan bertahun-tahun lamanya


 
 


 
 
 
 
Home   |   Index
Laman   |   Indeks
 

 
Copyright ©2009 drmoto.com.my
Designated trademarks and brands are the property of their respective owners